Sporothricosis : Part 2

Apa yang akan berlaku jika dijangkiti SPORO?

Pada entri yang pertama saya telah menulis apa itu SPORO, dari mana dia datang, bagaimana ia menjangkiti manusia dan haiwan, serta jenis-jenis jangkitan SPORO.

Kalau anda belum baca sebaiknya anda membaca entri “Sporothricosis:
Part 1” terlebih dahulu agar lebih memahami apa yang saya ingin kongsikan di dalam entri ini.

Seperti yang telah diterangkan, manusia dan haiwan (lepas ni saya akan sebut kucing) boleh memperolehi SPORO ini melalui pernafasan dan “inokulasi terus”. Dan inokulasi terus merupakan kaedah yang paling popular.

Sebelum saya meneruskan penulisan ini, ingin saya maklumkan bahawa penyakit SPOROTHRICOSIS ini adalah penyakit ZOONOTIK.

ZOONOTIK?
Apa pulak zoonotik ni?
Ada kaitan dengan zoo plak ke?

Haha takde langsung.

Sebenarnya Penyakit ZOONOTIK bermaksud; penyakit berjangkit yang boleh merebak anatara spesis,maksudnya penyakit dari haiwan diberikan kepada manusia dan begitu jugalah sebaliknya.

Jadi maksud Dr kita boleh dapat penyakit ni dari kucing?

Ya betul. Ini bermakna kucing yang telah dijangkiti penyakit SPORO boleh menjangkiti manusia melalui  gigitan dan cakaran. 

Selain itu kita juga boleh dijangkiti sekiranya terdapat luka yang terbuka/terdedah pada tangan atau anggota badan kita.


Jadi siapakah mereka yang berisiko?

  • haha tentula VET macam saya :), vet dan pembantu vet yang memeriksa dan mengendalikan kucing tersebut.
  • Pemilik kucing tersebut.
  • Individu atau penyelamat kucing, yang sering menangkap kucing jalan
  • dan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan terus dengan kucing sporo. 

Oleh sebab itulah, pemilik yang mempunyai kucing SPORO sering dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit SPORO ini. Di hujung entri ini nanti saya akan terangkan dengan lebih terperinci.
Tak sabar boleh scroll bawah laju laju. Haha

Sekiranya tanpa sengaja, anda telah dicakar atau digigit oleh kucing sporo atau kucing yang disyaki mempunyai jangkitan sporo,  apakah yang patut anda buat? 

Basuh tangan anda bersih-bersih dan biarkan air mengalir pada luka tersebut
dalam tempoh yang agak lama. Dan berdoa moga tiada apa yang buruk berlaku.
InnshaAllah. Usaha dan tawakal.

Dalam masa yang sama anda kena sering memerhatikan perubahan di kawasan yang digigit atau dicakar. 

Apa yang perlu anda perhatikan?

Biasanya selepas inokulasi, tanda pertama yang akan kelihatan adalah timbul benjolan pada kulit (nodule) yang nampak macam bisul di kawasan tempat asal inokulasi berlaku. Maksudnya kat tempat luka tu tetiba ada macam bisul atau bengkak.

Benjolan ini kalau ditekan (picit) tak rasa sakit, ia nampak macam warna merah jambu hingga hampir ungu. Lama kelamaan,adakalanya nodul tadi merekah (pecah macam ulcer). Jika tidak dirawat, nodul dan ulser ini boleh kekal selama bertahun-tahun.

Dalam kebanyakkan kes pula, tanda atau nodul ini akan merebak (atau beranak/bertambah) di sepanjang nodus limfa. Maksudnya di sini, akan timbul satu lagi nodul baru disebelahan nodul yang pertama, dan kemudian selepas beberapa ketika timbul lagi dan lagi di sepanjang jaringan nodus limfa( lymph node). 
Rujuk gambar rajah di bawah.

Kira nanti nampak macam bisul yang tersusun selari, yang bermula dari tempat mula (asal luka tersebut) dan memanjang menghala ke tubuh badan di mana pusat nodus limfa berada. Keadaan ini juga boleh bertahan selama bertahun-tahun jika tidak dirawat.

Dalam kes terpencil (maksudnya jarang berlaku), jangkitan ini boleh merebak ke bahagian lain badan, terutama jika individu yang dijangkiti mempunyai sistem imun (daya tahan badan) yang lemah. Ia akan merebak dan menyerang organ dalaman. Sekiranya ini berlaku, proses rawatan akan menjadi sukar lebih sukar dan boleh mengancam nyawa.

Gambar di atas merupakan ilustrasi bagaimana tanda penyakit sporo, nodul mula terhasil di A dan kemudian bertambah menuju ke pangkal lengan di B.

Gambar ini diambil dari carian google : The_British_journal_of_dermatology 
Sebab ni je satu-satu gambar yang boleh diguna semula, kalau nak lebih jelas anda boleh la minta tolong pada Mr Google.

Bagaimana pula nak kenal Sporo pada kucing?

Jangkitan Sporo pada kulit merupakan keadaan yang paling popular pada kucing. Seperti juga manusia, kucing yang dijangkiti sporo pada kulit mempunyai tanda-tanda seperti bengkak atau nodul, dan ada yang telah pecah (ulcerated) dan berkeruping. 

Tanda-tanda ini biasanya kelihatan di bahagian muka, kepala, tengkuk, bahagian lumbar dan juga pangkal ekor. Ini adalah bahagian tubuh kucing yang sering luka akibat pergaduhan.

Selain itu, kawasan yang kerap terjejas adalah cuping teling dan di bahagian hujung kaki. Tapak kaki dan bahagian hujung kaki mudah terkena jangkitan kerana seperti yang anda tahu kucing tak pakai kasut, jadi mudah untuk mereka dijangkiti di kaki tambah pula mereka suka mencakar tanah. Semasa bermain di tanah spora tadi mungkin melekat dihujung-hujung kuku kemudian kucing akan memindahkan spora tersebut ke telinga atau badan semasa menggaru telinga atau badan mereka. 

Anda juga boleh mengesyaki kucing anda dijangkiti sporo apabila terdapat luka lama yang tidak baik/sembuh walaupun sudah agak lama, terutama jika luka tersebut telah
dirawat dengan antibiotik tetapi tidak juga sembuh.

Ingat krim antibiotik TIDAK membantu dalam luka disebabkan Fungus.

Dalam keadaan tertentu, terutama sekiranya kucing yang dijangkiti mempunyai daya tahan yang lemah, ada kemungkinan jangkitan ini merebak ke dalam badan dan menyerang tulang ataupun otak. Ini sering berlaku kepada kucing yang lemah daya tahan seperti kucing yang mempunyai FIV (Feline AIDS).

Sekiranya ini berlaku, kucing akan menjadi lemah, tidak selera makan dan tidak
bermaya. Ini menyukarkan proses rawatan, dan biasanya mereka tidak mampu
bertahan.

Ini “Blacky” (bukan nama sebenar) merupakan seekor kucing jantan yang masih “intact” dan bebas bermain di luar. 


Blacky dijangkiti SPORO yang agak teruk kerana dia merupakan kucing yang agak liar jadi individu yang merawatnya mengambil masa yang agak lama untuk membawanya ke klinik.


Gambar ihsan dari: 

Dr Yaslynn Yamin


Sekiranya anda mengesyaki mana-mana kucing atau kucing anda dijangkiti SPORO  apakah langkah seterusnya yang perlu diambil?

  1. Asingkan/ Kuarantuin / Sangkarkan kucing yang disyaki.
  2. Memakai perlindungan diri seperti topeng muka (mask)  dan sarung tangan (glove).
  3. Bawa ke KLINIK VETERINAR dengan segera untuk mendapatkan rawatan
  4. JANGAN sesekali cuba merawat sendiri.

BAGAIMANA UJIAN DIJALANKAN UNTUK MEMASTIKAN KUCING ANDA DIJANGKITI SPORO?

  • Seperti biasa, sebelum VET memulakan pemeriksaan, VET akan bertanyakan kepada anda latar belakang, apa yang berlaku (history) dan keadaan kucing anda.
  • Kemudian pemeriksaan kesihatan akan dijalankan. 
  • VET akan mengambil “sample smear” dan “sample swab” daripada luka yang ada pada kucing anda. Biasanya pemeriksaan sample smear akan terus dilakukan dan “sample swab” akan dihantar ke makmal untuk pengesahan lanjut.

Gambar disebelah menunjukkan morfologi spora fungus sporo yang diperolehi daripada “sample smear” Blacky (Bukan nama sebenar).



Sekiranya VET menemui organisma yang sama seperti ini, dapat disahkan bahawa kucing anda telah dijangkiti SPOROTHRICOSIS.

RAWATAN SPOROTHRICHOSIS

Rawatan bagi individu yang dijangkiti sporo, sama ada pada manusia atau kucing  mengambil masa yang agak lama. 

Di sebabkan saya adalah seorang Dr VET jadi saya hanya akan menulis tentang rawatan pada kucing. Untuk rawatan manusia sila rujuk pada yang pakar. 

Rawatan SPORO pada kucing memerlukan komitmen yang besar, ini bukan sahaja masa anda, tenaga, serta wang ringgit. Oleh sebab yang demikian, bagi memastikan rawatan berjalan dengan lancar dan efisyen, beberapa test sampingan perlu dilakukan terlebih dahulu. 

Biasanya VET akan sarankan untuk membuat pemeriksaan darah untuk melihat tahap kesihatan kucing, serta organ dalaman terutama hati dan buah pinggang. Ini kerana ubat yang dimakan akan memberi kesan kepada hati, oleh itu kita kena pastikan hati kucing benar-benar sihat. 

Ujian penyakit Feline Immunideficiency (FIV) dan Feline Leukemia (FeLV) juga penting bagi memastikan kucing tidak mengalami masalah atau penyakit kurang daya tahan, di mana ia akan melambatkan dan merisikokan rawatan kucing.

Saya secara pengalaman pernah merawat seekor kucing sporo yang menghidapi FIV ia mengambil masa 6 bulan untuk kucing tersebut benar benar pulih dari sporo, berbanding 2-3 bulan bagi kucing yang tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain.

VET juga akan memantau kucing anda dari semasa ke semasa, dan memberikan temujanji setiap 14 hari/ 2minggu untuk melihat progres kesihatan kucing anda

walaupun adakalanya kesan nodul sudah hilang, rawatan akan tetap di lanjutkan untuk tempoh 2-3 minggu bagi memastikan semua spora telah berjaya dinyahkan.

hurmmm Dr tak cerita pun apa rawatannya?

hahaha ingat lupa dah..
memandangkan SPOROTHRICHOSIS adalah sejenis fungus, maka ubat antifungal akan diberikan kepada kucing anda. 
Ubat cream jarang berkesan kerana ia memasuki kedalam badan dan sistem limfa bukan di bahagian permukaan.

Apa nama ubat dan dosage nya?

haaaa yang ni kena rujuk VET la 
so bawalah kucing anda ke VET
nanti saya bagi tahu you all suka suka rawat sendiri 

TIPS UNTUK PASTIKAN RAWATAN KUCING SPORO ANDA BERJAYA

  1. Bawa kucing anda berjumpa VET  dapatkan pemeriksaan dan rawatan yang betul.
  2. JANGAN rawat sendiri
  3. JANGAN tanya Mr GOOGLE “how to treat my sporo cat” atau mana-mana individu yang tak bertauliah. Ingat ye tak semua luka yang sama adalah “sporo” ada banyak lagi penyakit diluar sana yang anda tak tahu dan belum saya ceritakan.
  4. Ikut nasihat DR VET dengan betul 
  5. Jangan SKIP ubat
  6. DATANG/ hadir pada setiap temujanji.

alah Dr saja je gertak ni …. APA YANG AKAN BERLAKU JIKA TIDAK PATUHI SARANAN?

Kucing anda akan lambat baik. Kalau lambat baik kami para VET tak de effect apa-apa, anda la yang akan letih menguruskan dan  kos akan meningkat. Ingat ye ubat SPORO yang ORIGINAL bukan murah ye. Bila kos meningkat dan masa bertambah anda akan jadi bosan dan putus asa. kesian kat kucing jadi mangsa.

Keadaan menjadi lebih buruk sekiranya, sporo mula merebak dan pada masa ni harapan untuk kucing anda sembuh adalah sangat tipis. 

Jadi fikirlah masak-masak… pilihan di tangan anda.

Okay tapi sporo boleh menjangkiti manusia saya takut nanti saya dijangkiti.
MACAM MANA NAK ELAKKAN DIRI DARI DIJANGKITI SEMASA MENGURUSKAN KUCING SPORO?

  1. Ikut saranan dan nasihat Dr VET anda
  2. Asingkan / Sangkarkan kucing anda untuk mengawal pergerakan kucing anda
  3. Pastikan luka pada tangan anda telah dibalut rapi.
  4. Pakai topeng muka (mask) untuk mengelakkan diri dari tersedut spora.
  5. Pakai sarung tangan pakai buang (latex glove) semasa menguruskan kucing anda.
  6. Pakai apron untuk elakkan pakaian anda dicemari.

    Selebihnya kita berdoalah pada ALLAH supaya dijauhkan dari dijangkiti penyakit ini.
    InnshaAllah segalanya berjalan lancar.

akhir sekali mungkin ada yang bertanya boleh ke kita cegah kucing dari terkena SPORO
Jawapannya susah nak cakap sebab spora nya ada di persekitaran. Tapi boleh lah kita usahakan.  Berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ambil sebagai langkah pencegahan;

  1. bela kucing di dalam rumah 
  2. elakkan pasu yang bertanah atau tumbuhan yang menggunakan “lumut sphahnum” 
  3. mansulkan kucing jantan anda, kerana kucing jantan suka merayau dan bergaduh 
  4. kalau anda tahu kucing anda baru lepas bergelumang dengan tanah ke lumpur ke apa ke, mandikanlah kucing anda.

Buat masa ni itu jer yang saya boleh fikirkan.

Saya rasa cukup dah kot penulisan saya buat kali ini.
InnshaAllah dilain masa kita bertemu lagi.

Seperti biasa, akhir kata dari saya

  • Saya menulis berdasarkan pengetahuan, pembacaan dan pengalaman saya dalam bidang ni yang dah nak masuk hampir 15 tahun. 
  • Penulisan ini sekadar panduan dan info tambahan untuk pembaca, BUKAN panduan untuk membuat rawatan sendiri dirumah.
  • Penulisan ini juga TIDAK ADA NIAT atau TIDAK BERTUJUAN untuk mempromosi diri atau mana mana pihak, ia sekadar untuk berkongsi info dan usaha saya dalam memberi PUBLIC AWARENESS kepada pemilik dan pencinta kucing diluar sana.

You May Also Like

About the Author: DrLynnYamin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *